BACALAH SURAH AL-KAHFI PENYELAMAT FITNAH DAJAL


BACALAH SURAH AL-KAHFI PENYELAMAT FITNAH DAJAL | SEJAK dua menjak ni terlalu banyak sangat yang dilihat dan dapat kita baca semuanya tentang fitnah. Sis kekadang tu malas nak amik port, hanya baca scroll dan diam. Takut termakan penulisan, kita tak tau, maka kita bercakap menulis, dan ianya tidak benar, oleh itu jatuhlah fitnah. 

Ingat, fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh. So menulis, bercakaplah dengan fakta. Jika tidak tau, lebih baik diam dari berkata-kata. Tak tau laa nak kata apa, hinggakan para ulama, ustaz ustazah, dan haji dan hajjah yang ilmu agamanya tinggi pun orang fitnah tanpa usul periksa. Allahuakbar..

Fitnah serta melagakan-lagakan orang adalah ‘penyakit’ yang cukup berat kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar. Kita perlu ingat, untuk bertaubat dengan melakukan dosa itu bukannya satu perkara mudah. Mampukah kita berjumpa dan memohon maaf kepada setiap orang yang diumpat atau difitnah itu?

Jika dilihat pada zaman ini, kita sebenarnya berada dalam kelompok manusia akhir zaman yang perlu melalui segala ujian dan cabaran hidup berat dan amat mencabar termasuklah diuji dalam bentuk fitnah. Harus diketahui, fitnah Dajal adalah fitnah yang terbesar buat umat manusia.

Sabda Nabi Muhammad SAW; “Sejak dijadikan Nabi Adam sehinggalah berlakunya kiamat, tidak ada satu fitnah pun yang lebih besar daripada fitnah Dajal.”

Bacalah Surah Al-Kahfi Penyelamat Fitnah Dajal

Dalam menghadapi ujian yang berat nabi SAW menyarankan kita untuk membaca dan menghafaz surah al-Kahfi.

Nabi SAW bersabda antaranya:

1. “Sesiapa yang menghafaz 10 ayat dari permulaan surah al-Kahfi maka nescaya dia akan dilindungi daripada Dajal” [fitnah dan tipu dayanya].

2. “Sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, maka itu merupakan perlindungan baginya dari fitnah Dajal.”

3. “Sesiapa yang membaca satu surah al-Kahfi pada hari Jumaat, terlindunglah dia daripada setiap fitnah selama lapan hari sekali pun fitnah bila Dajal dikeluarkan.”

Kenapa surah al-Kahfi dan bukan surah lain, atau apa kaitan surah al-Kahfi dengan akhir zaman dan apa cabaran umat akhir zaman dan kaitannya dengan apa yang ada dalam surah al-Kahfi?

Kalau kita teliti surah al-Kahfi, terdapat empat kisah dan daripada kisah tersebut Allah menyuruh kita ambil pengajaran daripadanya, adalah seperti berikut:

Kisah pertama

Seperti namanya Surah Al-Kahfi kisah pertama dalam surah al-Kahfi adalah cerita tentang pemuda-pemuda yang terpaksa melarikan diri daripada Raja Diqyanus yang akan membunuh rakyat yang tidak menyembah berhala. Maka pemuda al-Kahfi telah lari dan bersembunyi di dalam gua [al-Kahfi] kerana nak menyelamatkan akidah tauhid kepada Allah.

Diqyanus akhirnya mengetahui tempat persembunyian pemuda al-Kahfi dan menutup pintu gua tersebut, tetapi Allah telah menyelamatkan mereka dengan menidurkan mereka selama 309 tahun.

Daripada kisah tersebut kalau kita teliti cabarannya adalah mempertahankan akidah daripada kesesatan. Maka itulah juga cabaran umat akhir zaman ini. Menurut senarai ajaran sesat di Malaysia sahaja kita mempunyai lebih 58 ajaran yang telah difatwakan sesat.

Kisah kedua

Kisah dua orang pemuda yang Allah berikan kemewahan dan kenikmatan dunia dengan kebun-kebun tamar, anggur dan buah-buahan lain yang luas tetapi salah seorang daripada mereka kufur nikmat, tidak bersyukur kepada Allah, sombong dan lalai dengan kenikmatan dunia.

Sedangkan seorang lagi terus semakin dekat dengan Allah dengan kenikmatan yang Allah anugerahkan. Dia memberi nasihat bahawa apa yang ada padanya hanyalah pinjaman daripada Allah semata-mata dan Allah boleh tarik balik dalam sekelip mata sahaja.

Ditakdirkan kebun-kebun pemuda yang lalai tadi Allah musnahkan. Daripada kisah tersebut maka cabarannya adalah lalai dengan kenikmatan dunia. Itulah yang nabi SAW takutkan umatnya lalai dengan nikmat dunia yang sementara. Sedangkan Allah utuskan manusia ke dunia untuk mempersiapkan seberapa banyak bekalan amalan baik untuk bekalan akhirat tapi lain pula yang dicari manusia derhaka.

Bacalah Surah Al-Kahfi Penyelamat Fitnah Dajal

Kisah ketiga

Kisah Nabi Musa a.s. yang diperintahkan oleh Allah untuk menuntut ilmu dengan nabi Khidir a.s. Nabi Musa a.s. merasakan bahawa dialah yang paling banyak ilmu sebab telah dilantik menjadi nabi dan rasul. Maka cabaran kepada nabi Musa adalah menambahkan ilmu atau dengan kata lain untuk keluar dari situasi kejahilan.

Maka kalau kita perhatikan kisah tersebut maka cabaran umat akhir zaman adalah kejahilan. Ramai manusia yang tak berminat menuntut ilmu yang mendekatkan diri dengan Pencipta. Kuliah Maghrib atau Subuh di kebanyakan masjid dan surau mungkin lebih kurang 50 orang saja hadir tapi kalau ada konsert nyanyian yang melalaikan, 50,000 orang penuh stadium. Inilah cabaran umat ini.

Kisah keempat

Kisah Raja Zulqarnain dengan Yakjuj dan Makjuj. Kisah seorang raja yang memerintah Timur dan Barat tetapi sangat adil apabila diadukan masalah penduduk yang tinggal berdekatan dengan kaum Yakjuj dan Makjuj yang sering mengganggu kehidupan mereka.

Maka mereka telah memohon Raja Zulqarnain untuk membina satu benteng yang menghalang daripada gangguan kaum Yakjuj dan Makjuj dan penduduk tersebut sanggup membayar berapa sahaja upah. Tetapi Raja Zulqarnain menolak upah mereka dan mengatakan bahawa apa yang Allah kurniakan kepadanya jauh lebih baik dari upah mereka. Maka cabaran umat akhir zaman adalah pemerintahan yang zalim.

Kalau kita perhatikan di merata dunia manusia dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan tidak mengira kanak-kanak, tua dan muda. 

Maka merujuk kepada kisah-kisah dalam surah al-Kahfi, dapatlah kita simpulkan bahawa antara fitnah/cabaran dahsyat umat akhir zaman, yang mengiringi sebelum keluarnya Dajal ialah: cabaran mempertahankan dari aqidah sesat; cabaran kejahilan; cabaran penguasa yang zalim; dan cabaran kenikmatan dunia.

Bacalah Surah Al-Kahfi Penyelamat Fitnah Dajal

Kalau kita tidak dapat mempertahankan diri dari cabaran tersebut maka rugilah kita dunia dan akhirat. Sebab itu dalam ayat ke-10, surah al-Kahfi, pemuda al-Kahfi berdoa kepada Allah; “ Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.

Selain itu, Imam al-Ghazali di dalam kitab lain turut menyenaraikan enam adab yang perlu dilakukan ketika menerima berita fitnah.

Pertama, jangan mudah percaya kerana pemfitnah itu hanya menghilangkan kebenaran.

Kedua, melarang dan menasihati keburukan perilaku orang membawa berita fitnah itu supaya berhenti memfitnah kerana perbuatannya itu mengundang dosa besar selain tidak mahu bersekongkol dengannya.

Ketiga, membenci perbuatan pembawa fitnah itu kerana Allah SWT.

Keempat, jangan berprasangka buruk (suudzon) kepada orang diberitakan itu.

Kelima, jangan ikut menyebarkan fitnah serta menjadi pengintip dengan membuka rahsia orang lain.

Keenam, jangan setuju dengan fitnah yang terlarang itu dan jangan menceritakannya.

Golongan yang menyampaikan berita palsu dikira sebagai pembohong kerana bersubahat.

Marilah sama-sama kita baca, fahami dan amalkan surah al-Kahfi dan doa pemuda al-Kahfi. Semoga kita dilindungi Allah daripada segala fitnah/cabaran yang amat dahsyat ini.


P/S: Inikah di katakan 'dunia tipu-tipu' yang sebenarnya?... sedih dengan situasi sekarang ni... 

2 comments:

  1. allahu terima kasih atas peringatan

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana sudi mengingatkan kami yang lupa. :)

    ReplyDelete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.