DOA KETIKA DALAM KESUSAHAN DAN KESEDIHAN


DOA KETIKA DALAM KESUSAHAN DAN KESEDIHAN | Lumrah manusia apabila mula berasa bimbang, hati jadi tidak tenteram dan akhirnya berusaha untuk kembali kepada Tuhan. Cuba kita lakukan muhasabah diri sendiri sepanjang negara dilanda Covid-19. Setiap orang tidak terlepas daripada ujian kehidupan. Memang lumrah kehidupan ini tidak selalunya dalam kegembiraan dan kesenangan. Adakalanya kesedihan dan kesusahan singgah dalam diari kehidupan insan. 

Bukti jelasnya sekarang ini kita di Malaysia masih berada dalam keadaan tidak menentu tatkala wabak Covid-19 masih menyerang mangsanya. Ramai yang susah nak makan, dan terputus bekalan makanan. Dan bilangan mangsa yang didapati positif dengan Covid-19 terus meningkat tiada perubahan drastik dan kes salah laku seperti merompak, tekanan jiwa dan bunuh diri juga kerap berlaku.

Begitulah keadaan semasa disebabkan wabak Covid-19 yang masih belum nampak ada berkesudahannya. Manusia mula diselubungi kebimbangan kerana wabak tersebut tidak mengenal kedudukan mahupun latar belakang manusia. 


Doa Ketika Dalam Kesusahan Dan Kesedihan

Ingatlah Allah Disaat Susah Dan Senang .

Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan." (Surah Yunus, ayat 12)

Sedarkah kita bahawa kali ini tangan perlu diangkat bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT? Bukan soal kita ditegah daripada berdoa, malah hakikatnya Allah membuka ruang untuk kita memohon pertolongan hanya kepada-Nya. Namun, yang penting untuk diinsafi ialah keperluan untuk kita terus mengingati Allah pada waktu senang, bukan ketika berlaku kesusahan sahaja.

Doa perlu dipanjatkan kepada Allah SWT sewaktu susah dan senang kerana ia satu bentuk pengakuan bahawa manusia sentiasa bergantung kepada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud:  "Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau daripada penduduk neraka."  (Surah az-Zumar, ayat 8)

Doa Ketika Dalam Kesusahan Dan Kesedihan

Doa Ketika Dalam Kesusahan Dan Kesedihan 

Doa Nabi Yunus : "Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin" 
Maksudnya: Tidak ada Tuhan (yang dapat menolong) selain Engkau (Ya Allah!), Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (Surah al-Anbiya ayat 87)

Zikir doa ini mengandungi kelebihan yang amat baik jika kita mengamalkannya, iaitu manfaat dikeluarkan kita daripada kesusahan atau bencana. Doa Nabi Yunus atau juga dikenali sebagai zikir Nabi Yunus merupakan zikir yang dibaca oleh Nabi Yunus A.S. ketika Baginda berada dalam perut ikan nun. Disebabkan zikir ini juga, Allah S.W.T. telah menyelamatkannya, yang akhirnya membolehkannya keluar dari perut ikan yang menelannya itu.

Sedangkan Rasulullah SAW yang maksum tiada sebarang dosa masih berusaha memperbanyakkan istighfar sebagai tanda memohon keampunan daripada-Nya. Bagaimana pula dengan kita yang kini masih diuji dengan wabak Covid-19 disebabkan kecuaian diri manusia sendiri?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  "Demi Allah, sesungguhnya aku (Rasulullah) beristighfar kepada Allah dan memohon keampunan kepadaNya setiap hari lebih daripada 70 kali."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Mudah-mudahan dengan memperbanyakkan istighfar kepada Allah SWT, maka ujian wabak Covid-19 ini akan segera berlalu. Di samping itu, kita menjadi hamba yang sentiasa dekat kepadaNya kerana mengingatiNya bukan sahaja ketika susah malah ketika senang juga.


P/S: Syukur itu mengikat nikmat. Sabar itu mengangkat darjat. Hiduplah dengan sabar & syukur hingga akhir hayat ❤

3 comments:

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.