NIAT PUASA RAMADAN (SEBULAN DAN HARIAN). Niat merupakan salah satu rukun dalam berpuasa, dan ia harus dilakukan dengan syarat-syarat tertentu agar puasa diterima. Menurut kebanyakan kitab fiqh, syarat-syarat niat puasa termasuk Al-Jazm (kepastian tanpa ragu-ragu), Al-Ta’yiin (penentuan jenis puasa), dan Al-Tabyiit (menetapkan niat pada malam hari, selepas tenggelamnya matahari hingga terbitnya fajar).
Puasa Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam yang memenuhi syarat. Ia merupakan ibadah yang mempunyai hikmah yang mendalam dan memberikan peluang kepada umat Islam untuk membersihkan jiwa serta mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Puasa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga melibatkan aspek rohani seperti menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa.
Niat Puasa Untuk Sehari
Lafaz niat puasa Ramadan untuk sehari adalah sebagai berikut (dalam Rumi):
“Nawaitu Souma Ghadin ‘ An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’alaYang bermaksud, “Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala”.
Niat Puasa Untuk Sebulan
Niat puasa Ramadan untuk sebulan boleh dilafazkan seperti berikut (dalam Rumi):
“Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala,”Yang bermaksud, “Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala”.
Niat Setiap Malam atau Sekaligus Sebulan
Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Tetapi adakah niat puasa itu wajib diperbaharui setiap hari atau boleh disebut sekali sahaja pada awal Ramadan dan kekal hingga ke akhirnya.
Timbul permasalahan sama ada perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau berpada dengan niat 30 hari sekaligus di permulaan niat. Ulama’ terbahagi kepada dua pendapat:
- Pendapat pertama mengatakan bahawa boleh berniat sekaligus untuk sebulan pada awal Ramadan, yang didukung oleh mazhab Imam Malik.
- Pendapat kedua, yang merupakan pandangan jumhur dan mazhab Syafie, menyatakan niat perlulah diperbaharui pada setiap malam.
Menurut mazhab Imam Syafi’i niat puasa wajib harus dilakukan pada malam hari, iaitu waktu setelah terbenamnya matahari (maghrib) sampai dengan sebelum terbitnya fajar shadiq (sebelum masuk waktu solat subuh).
Berdasarkan sabda Rasulullah SAW (Lihat: Hasan Sulaiman Nuri dan Alwi Abas al-Maliki, Ibanatul Ahkam fii Syarhi Bulughil Maram, juz 2, hal. 376):
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ“Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari maka tidak ada puasa baginya.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Nasai, Tirmizi, dan Ibnu Majah)
Untuk puasa wajib, termasuk puasa bulan Ramadhan, niat yang demikian itu harus dilakukan setiap malam kerana puasa dalam tiap-tiap harinya adalah satu ibadah tersendiri (Nawawi al-Bantani, Kasyifatus Saja (Darul Kutub Islamiyah, 2008 halaman 192).
Dengan demikian bila seseorang lupa belum berniat pada malam hari maka puasa pada siang harinya dianggap tidak sah.
Imam Qalyubi dalam kitab Hasyiyahnya menyampaikan satu penyelesaian sebagai tanda berjaga-jaga agar puasa orang yang lupa berniat pada malam harinya tetap sah maka dianjurkan pada malam pertama bulan Ramadhan untuk berniat akan berpuasa Ramadhan satu bulan penuh.
Bila ini dilakukan maka seandainya seseorang lupa berniat pada malam tertentu puasanya akan tetap dianggap sah dan tidak ada kewajiban untuk menggantinya.
Niat yang demikian itu dapat dilakukan dengan merujuk pada apa yang diajarkan oleh Imam Malik (Syihabuddin al-Qalyubi,Hasyiyataa Qalyubi wa ‘Umairah, Darul Hadis, 2014, juz 2, halaman 129). Namun demikian Imam Maliki juga memberi syarat, niat berpuasa untuk satu bulan penuh itu berlaku bila puasanya tidak terputus.
Bila puasanya terputus kerana sakit, haid atau perjalanan maka wajib berniat kembali untuk hari-hari yang tinggal (Hasan Sulaiman Nuri dan Alwi Abas al-Maliki, halaman 377)
Kesimpulannya, puasa Ramadan adalah ibadah yang tidak hanya menuntut penahanan diri dari makan dan minum, tetapi juga memerlukan niat yang sah. Niat ini harus memenuhi syarat-syarat tertentu dan wajib diperbaharui setiap malam bagi menepati mazhab Syafie. Melalui puasa, umat Islam berpeluang untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki amalan serta sikap diri.
P/S : Selamat menunaikan ibadah puasa buat semua pembaca akusislin ❤
Salam Ramadan Al Kareem buat Sis Lin sekeluarga.
ReplyDeleteSelamat menjalani ibadah puasa.
Salam Ramadan juga buat Amie sekeluarga ...
DeleteSalam ramadan dan selamat berpuasa
ReplyDeleteSelamat berpuasa Wak ...
Delete