ADAB DALAM MEMBERI NASIHAT DAN TEGURAN

ADAB DALAM MEMBERI NASIHAT DAN TEGURAN | TEGUR Kerana Sayang. Beruntung sekiranya masih ada lagi orang yang ingin menegur kesilapan kita. Itu tandanya dia menyayangi kita. Agama Islam adalah agama yang sempurna, Islam bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadah seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji dan sebagainya. Malahan agama Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup, berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. 

Oleh itu bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur antara satu dengan yang lain. Menasihati dan menegur adalah perbuatan yang sangat baik dan dianjurkan dalam Islam, sememangnya kita sebagai manusia perlu mendapat teguran supaya kita menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri.

Perlu diingat, nasihat atau teguran yang disampaikan perlulah dengan adab dan sopan. Kerana tanpa adab dan cara yang betul, ia bukan sahaja akan menimbulkan salah faham bahkan akan menimbulkan kemarahan orang yang ditegur dan menyebabkan terjadinya pertengkaran kerana tidak semua orang boleh menerima nasihat dan teguran. 

Oleh itu, adab dan sopan perlu seiring dalam menasihati, menegur dan memberikan pendapat. Niat kita menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan, menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk. Oleh itu cara kita menegur mestilah berhemah, berhati-hati dan jangan sengaja mencari kelemahan orang yang ditegur. 

Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassallam:


عن تميم الداري : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الدين النصيحة قلنا : لمن؟ قال : لله ولكتابه ولرسوله ولائمة المسلمين وعامتهم. (رواه الإمام مسلم)

Maksudnya: Daripada Tamim Midari, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitabNya, kepada rasulNya, kepada para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum.

Sesungguhnya setiap nasihat atau teguran perlu diteliti dan dihalusi, orang yang menegur mestilah dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kerana semua itu tidak akan menyelesaikan mestilah, akan tetapi sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan. 

Adab Dalam Memberi Nasihat Dan Teguran

Ada tatacara dan adab dalam memberi nasihat dan teguran yang perlu kita ambil perhatian dalam menasihati dan menegur dengan cara yang baik, antaranya ialah:

Pertama: Berilah nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut, janganlah sesekali kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk mendedahkan aib orang.

Kedua: Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai, nasihati dan tegurlah ketika dia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup, berilah nasihat dan teguran dengan adab dan cermat bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur.

Ketiga: Berilah nasihat dan teguran dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur, berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi.

Keempat: Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan. Apabila kita ingin menasihati dan menegur seseorang, nasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur.

Kelima: Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan. 

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Al-Hurujat ayat 12:


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ اجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ
صدق الله العظيم

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa”

Budayakanlah amalan nasihat-menasihati dan tegur-menegur dengan kata-kata yang lemah-lembut dan berbudi-bahasa. Berilah nasihat dan teguran dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan cara yang penuh berhemah agar nasihat dan teguran dapat diterima dengan hati yang terbuka. 

Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturrahim antara kita. Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan hidup rukun damai, harmoni dan bersatu-padu dan semoga kita semua akan mendapat keselamatan, kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber : Khutbah 


P/S: Aduui malasnya nak packing kain baju huhuhu.,.

2 Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

  1. terima kasih sebab sudi tegur dengan baik. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulilah, sama-sama kita menegur untuk baiki ke arah kebaikan...

      Delete

Post a Comment

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment