SENTIASA BERSYUKUR DENGAN UJIAN DAN DUGAAN ALLAH

SENTIASA BERSYUKUR DENGAN UJIAN DAN DUGAAN ALLAH | SETIAP apa yang berlaku dalam kehidupan orang Mukmin semuanya adalah baik. Dia menerima setiap ketentuan yang berlaku dalam kehidupannya kerana mengetahui di sebalik semua yang berlaku pasti ada hikmah yang akan dikurniakan Allah SWT. Oleh itu, orang beriman tidak akan sama sekali mengeluh terhadap apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Kehidupan kita di dunia ini hanyalah sementara. Akhirat jua berkekalan selamanya. Kebahagian kita di dunia ini bersama keluarga, rakan-rakan hanyalah bersifat sementara. Seperti mana firman Allah SWT:

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Al Ankabut : 64)

Walaupun bersifat sementara, namun ianya perlu kita sentiasa syukuri, kerana kebahagian sedang kita nikmati ini juga merupakan kurniaan yang tidak ternilai dari Allah. Kebahagiaan juga membuatkan diri kita lebih dekat dengan Allah.

Menurut Prof. Muhaya yang dipetik daripada buku beliau yang bertajuk Bahagia dan Membahagiakan, “manusia perlu fokus dalam mensyukuri semua yang Allah kurniakan. Seseorang yang yakin kepada Allah, Allah akan membantunya, kehidupan akan jadi lebih bahagia

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al Qasas :77)

Ayat ini menjelaskan kepada kita Allah SWT mengurniakan kita bahagia di dunia dengan harta, ilmu dan keluarga dan kesihatan yang baik, supaya kita menggunakannya untuk akhirat. Seterusnya, kita sebagai manusia mestilah menyatukan kepentingan hidup di dunia dan akhirat. Gunakan sebaik mungkin kebahagiaan yang dikurniakan Allah kepada kita untuk mengejar kebahagiaan di akhirat kelak. 

Contohnya, jika kita punya harta yang banyak belanjakannya ke jalan Allah, jika kita punyai kesihatan yang baik, kita kejar amal ibadah yang kita boleh kerjakan sebanyak yang boleh. Semua usaha ini mudah-mudahan diiringi dengan kebaikan berlipat ganda.

Sentiasa Bersyukur Dengan Ujian Dan Dugaan Allah

Setiap manusia punyai rezeki yang Allah tetapkan pada mereka. Jika kita ingin mencari kebahagiaan, kita perlu berhenti membanding rezeki yang kita terima. Fokuslah mencari dan menikmati rezeki yang ada pada kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Kadang terlalu melihat dan membanding kebahagiaan orang lain membuatkan kita tidak sedar dengan kebahagiaan dan nikmat-nikmat yang Allah telah sediakan untuk kita.

Berasa tidak bahagia membuatkan diri rasa bersedih. ‘la tahzan’ Allah sentiasa bersama kita. Perasaan sedih juga membawa kepada rasa tertekan dalam diri. Seterusnya, apabila sedih manusia mula merasakan kehidupannya tiada makna atau erti lagi dan membawa kepada pemikiran negatif. Sentiasa merasa diri tidak cukup bahagia kerana tidak memiliki apa yang dimahukan punca utama kita berasa  tidak cukup bahagia dan membahagiakan. Bergembiralah dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita. Dengan cara itu kehidupan kita yang sedia ada akan lebih bahagia dengan cara kita sendiri.

Kita dikurniakan Allah dengan akal fikiran. Urus emosi kita sebaiknya dengan akal fikiran yang Allah kurniakan. Elakkan tekanan dengan melakukan perkara yang baik dan yang kita sukai seperti mengerjakan ibadah, bertadabbur al-Quran, beriadah, memasak ataupun meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung membuatkan kita lebih menghargai dan bersyukur dengan kurniaan Allah kepada kita. 

Jika kita inginkan kebahagiaan, kita mesti mula dengan membahagiakan. Apa maksud membahagiakan? Membahagiakan adalah di mana kita cuba sebaiknya memberi kebahagiaan kepada orang lain. Inshaallah kita juga akan turut rasa bahagia. Banyak yang kita boleh lakukan untuk membahagiakan keluarga contohnya dengan meluangkan masa bersama mereka, beri perhatian terhadap apa yang anak-anak atau ibu bapa cuba luahkan bukan hanya mendengar tanpa memberi perhatian. 

Selain itu, kita juga dapat bantu memberi kebahagiaan kepada semua orang seperti membantu insan-insan yang memerlukan. Ianya juga merupakan salah satu terapi kebahagiaan. Yang paling penting, jika kita merasa kita sudah cukup memiliki kebahagiaan di dunia ini, kita cuba memahami kepayahan atau keperitan insan lain dengan membantu mereka berikan semangat dan bantuan baik daripada segi emosi dan fizikal. 

Resepi penawar untuk penyakit hati adalah dengan kemaafan. Jika kita inginkan kebahagiaan dalam kehidupan, kita mestilah sentiasa memaafkan. Ini kerana, dengan memaafkan orang lain, ianya dapat memberi manfaat dalam hidup kita. Hidup akan lebih tenang dengan memaafkan orang lain kerana maaf akan hadir dengan keikhlasan dan tulus dari hati yang bahagia. Sesungguhnya Allah SWT mempunyai sifat pemaaf.

 “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah al-Nisa’, ayat 149)

Jadi, siapalah kita selemah-lemah manusia untuk tidak memaafkan. Jadikan rutin harian kehidupan kita sebelum tidur kita mohon keampunan dari Allah SWT. Seterusnya kita memaafkan semua orang dengan ikhlas. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun jika kita memohon keampunan dariNya.

La Tahzan Innallaha Ma'ana, Kata Allah Jangan Bersedih!


P/S: Sabar selagi boleh sabar... 

6 Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment