ADAB RUMAH TERBUKA AIDILFITRI

ADAB RUMAH TERBUKA SYAWAL | Rumah terbuka atau open house sudah sinonim dalam kalangan umat Islam hari ini terutamanya apabila tibanya Syawal. Syawal juga dirasakan seolah-olah tidak lengkap tanpa mengadakan rumah terbuka.

Dalam penganjuran rumah terbuka ini biasanya tuan rumah akan menerima kunjungan kaum keluarga, sanak saudara dan rakan-taulan di kediaman masing-masing bagi sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri manakala ada segelintir umat Islam yang berkemampuan memilih mengadakannya di hotel-hotel mewah dan dewan-dewan besar.

Tidak kurang juga ada yang sanggup berbelanja mewah dan berhabis-habisan semata-mata untuk mengadakan rumah terbuka dengan alasan bulan Syawal hanya sekali dalam setahun.

Meskipun Syawal hanya setahun sekali namun sebagai tuan rumah perlulah bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk dalam penganjuran keraian sehingga akhirnya menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang sama sekali oleh Islam.

Hakikatnya, Islam menganjurkan umatnya supaya bersederhana dalam segala hal terutamanya dalam mengadakan rumah terbuka. Amalan ini adalah selari dengan apa yang ditekankan oleh Islam menyuruh umatnya beristiqamah setelah berakhirnya Ramadan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka tetaplah (istiqamah) engkau wahai Muhammad di jalan yang benar seperti yang diperintahkan bersama orang yang bertaubat dan janganlah kamu melampaui batas.” ( Hud, 11: 112).

Justeru meraikan rumah terbuka pada hari lebaran ini tidak semestinya secara besar-besaran namun apa yang penting niat kita untuk memuliakan bulan tersebut dengan penuh ke­syukuran.


Selain itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka umat Islam wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Ada dalam kalangan umat Islam yang merosakkan ketaatannya selama sebulan sepanjang Ramadan hanya pada hari pertama Syawal. Mengadakan rumah terbuka dengan melayan tetamu sehingga meninggalkan solat, tidak menutup aurat, pergaulan bebas tanpa batas antara lelaki dan perem­puan yang bukan mahram, makan yang terlampau sehingga membahayakan kesihatan dan sebagainya.

Walaupun amalan rumah terbuka bukanlah satu syariat yang diwajibkan oleh Islam sempena Hari Raya Aidilfitri, namun jika dilakukan menurut garis panduan syarak amalan tersebut boleh menjadi satu ibadah. Konsep rumah terbuka ini sebenarnya menyediakan ruang luas kepada umat Islam untuk terus melakukan amalan yang dituntut oleh Islam.

Antaranya, memberi peluang kepada umat Islam untuk ziarah-menziarahi, mengeratkan silaturahim, bermaaf-maafan, bertukar-tukar fikiran dan dapat melayan serta menjamu tetamu yang hadir.

Di samping itu, amalan kunjung-mengunjungi ini juga membolehkan persaudaraan yang selama ini renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang jauh menjadi dekat dan sebagainya. Lantaran itu, akan terbentuk satu ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.

Sebagaimana Islam sangat menggalakkan agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah.

 Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (al Hujarat: 47: 10).

Dalam pada itu, Islam telah menggariskan beberapa adab ketika mengadakan rumah terbuka.

Sebagai tetamu perlulah berniat baik atas kunjungannya, tidak memilih-milih tempat untuk berkunjung seperti rumah orang berharta, berpangkat dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat manakala waktu berkunjung pula hendaklah memilih masa yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu tersebut pihak tuan rumah sedang berehat.

Begitu juga dengan adab bersalam–salaman dan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Jangan pula kita mengikut budaya Barat bersalaman tanpa mengira lelaki ataupun wanita. Majlis rumah terbuka juga perlu dijauhkan daripada menjadi medan pergaulan bebas antara te­tamu yang bukan mahramnya. Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang majlis yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT, bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Selain itu, sebagai tetamu, seboleh-bolehnya kita menjaga adab terutama ketika mengambil juadah yang disediakan. Cuba elakkan makan dengan tamak dan gelojoh di rumah terbuka. Makanlah sekadarnya dan ingatlah masih ada ramai tetamu yang akan datang untuk menjamu selera. Menjaga adab bertamu pen­ting agar tidak tercemar dan dapat menjaga imej kita sebagai tetamu serta disenangi oleh tuan rumah.

Sementara itu, bagi tuan rumah, beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya, mestilah berniat ikhlas menerima kunjungan dan bukannya menunjuk-nunjuk serta memilih tetamu yang berpangkat untuk diajak bersembang. Tuan rumah perlulah menghormati dan memuliakan semua tetamu. Ingatlah bahawa memuliakan dan me­layan tetamu dengan baik, adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Konsep rumah terbuka sepanjang bulan Syawal adalah satu amalan yang baik. Walaupun penganjurannya hanya dilihat sebagai satu budaya masyarakat di Malaysia, namun jika caranya betul dengan menepati adab-adab yang bertiangkan syariat Islam serta jauh daripada perkara-perkara tercemar yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT, ia boleh dianggap ibadah dan wajar diteruskan.

#SisSharing
Perkongsian dari : Utusan





P/S: Jenis Sis pulak, tak payah tunggu rumah terbuka baru nak datang, kata pun raya, so datang ajelah kalau sudi..Ko nak makan ke ko nak datang salam raya? 😎

8 comments:

  1. Mood rumah terbuka dah on kan Sis..ramai dah balik memandangkan masing-masing dah mula bekerja dan dah nak mula sekolah..yang ada rezeki lebih silakan..yang mungkin cukup apa adanya jangan rasa terperuk atau sedih..rumah terbuka itu bukan syarat wajib setiap Syawal..apa paling penting sentiasa menziarahi..tidak kira syawal atau di luar bulan syawal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yerr @PC dah mula ON sana sini, dan dah mula dapat jemputan dah.. Sis pun lama tak buat openhouse, cuma tahun ni insyaAllah sebab ada permintaan dari anak-anak..
      Tapi sederhana aje, biasa kadang Sis masaks endiri, lain-lain order sebagai tambahan...

      Delete
  2. Replies
    1. Yerr @Warisan, kalau raya mesti nak buat openhouse, supaya senang tuan rumah layan sekali jalan katanya..gituuu...

      Delete
  3. ingat macam nak datang makan je..hahahaha...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaha lebih suka layan datang asingan, buka openhouse #Rohaida, sebab rasa takm puas nak melayan dan borak kannn

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.