Header Ads


BETUL KE SAYUR KANGKUNG BOLEH UBATI WABAK VIRUS KORONA NI?


BETUL KE SAYUR KANGKUNG BOLEH UBATI WABAK VIRUS KORONA NI? | Baru-baru ini telah gempar berkenaan dengan sayur kangkung yang dikatakan boleh menyembuhkan wabak virus korona baharu yang kian menular.

Wabak tersebut kini telah menjangkiti lebih daripada 40,000 individu dan jumlah kematian telah melebihi angka 1,000. Jika kangkung benar-benar boleh menyembuhkan jangkitan tersebut, maka alternatifnya adalah lebih murah.


Kerap mandi dan makan sayur kangkung jika terkena jangkitan?

Penampilan Dr Noordin Darus dalam segmen Wacana Sinar Harian yang diadakan baru-baru ini telah mewujudkan percanggahan pendapat di antara beliau dengan ahli akademik yang lain.

Seringkali, apabila membincangkan berkenaan dengan jangkitan virus korona baharu, nasihat yang sering diberikan oleh pakar kepada masyarakat lebih tertumpu kepada aspek langkah pencegahan.

Namun menurut Dr Noordin, bagi mereka yang terkena jangkitan virus korona, individu tersebut dinasihatkan untuk minum air kelapa dan lemon suam antara 6 hingga 7 gelas pada hari pertama.

Langkah tersebut perlu diulang pada hari kedua namun jumlah pengambilan perlu dikurangkan kepada 5 gelas. Mereka yang dijangkiti juga dinasihatkan untuk makan sayuran hijau seperti kangkung.

Sejauh manakah kebenaran pada fakta yang disampaikan oleh beliau? Dr Noordin Darus merupakan seorang Doktor Kesihatan Profesional (MBBS). Beliau disegani oleh sebahagian daripada netizen berikutan kesembuhannya daripada kanser limfoma.

Walau bagaimanapun, nasihat yang diberikan oleh beliau berkaitan dengan rawatan belum lagi terbukti oleh mana-mana kajian sains. Pakar perubatan di seluruh dunia kebanyakannya menggalakkan individu untuk membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun bagi menghindarkan penularan jangkitan.

Masih tiada lagi panduan yang dikeluarkan oleh mana-mana badan kesihatan global berkaitan dengan pemakanan yang boleh digunakan bagi merawat jangkitan ini.


Sayur kangkung, makanan yang mempunyai banyak kebaikan

Sayur kangkung, walaupun tiada bukti sains yang menunjukkan keberkesanannya dalam merawat jangkitan virus korona, mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Berikut merupakan 6 kebaikan sayur kangkung:

#1 Sayur rendah kalori 
100 gram kangkung hanya memberikan 19 kalori. Oleh sebab itulah kangkung sering menjadi saranan pakar pemakanan bagi mereka yang ingin kurangkan berat badan atau mengawal jumlah kolesterol.

#2 Vitamin A
Sayur kangkung kaya dengan vitamin A. 100g hidangan sayur tersebut mengandungi 6,300 IU vitamin A. Jumlah tersebut merangkumi 210% daripada nilai saranan harian.

Vitamin A penting untuk penglihatan, kesihatan kulit dan kesihatan rambut. Ia juga berperanan penting dalam menghindarkan kanser dan melambatkan proses penuaan.

#3 Kompaun antioksida
Kompaun antioksida seperti carotene-B, lutein, xanthin dan cryptoxanthin boleh dijumpai dalam sayur kangkung. Kompaun tersebut bukan sahaja boleh mengurangkan proses keradangan di dalam badan, malahan ia juga boleh menurunkan risiko anda untuk mendapat kanser.

#4 Vitamin B kompleks
Seperti sayur lain, kangkung mengandungi vitamin B kompleks seperti riboflavin, niacin, asid folik dan lain-lain. Vitamin ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi metabolik badan.

#5 Vitamin C
100g sayur kangkung segar mengandungi sejumlah vitamin C yang memenuhi 92% daripada keperluan saranan harian individu.

Vitamin ini juga memainkan peranan penting sebagai antioksida yang boleh mengurangkan kesan buruk molekul radikal bebas. Pengambilannya boleh melindungi anda daripada pelbagai jenis penyakit.

#6 Mineral 
Kangkung mempunyai kandungan mineral yang tinggi. Antaranya adalah zat besi, kalsium, kalium, magnesium, fosforus dan manganese. Mineral ini penting dalam proses mineralisasi gigi dan tulang serta kawalan fungsi rentak jantung.


Adakah betul sayur kangkung boleh ubati virus korona baharu?

Tiada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa sayur kangkung boleh mengubati jangkitan virus korona.

Dalam perbincangan wacana yang dihadiri oleh Dr Noordin, beliau menyebut sayur hijau dan memberikan sayur kangkung sebagai contoh.

Jika beliau ingin menekankan kepentingan mengambil sayur sebagai langkah untuk menguatkan sistem pertahanan badan, sayuran tersebut perlu diambil sebelum seseorang itu mendapat jangkitan virus korona.

Semasa sakit, pengambilan makanan yang mengandungi serat yang tinggi boleh membebankan sistem penghadaman manusia.

Kebanyakan tenaga yang sepatutnya digunakan oleh badan untuk melawan jangkitan akan diluangkan untuk mencerna makanan. Sebab itulah ketika sakit kebanyakan individu terdorong untuk mengambil makanan yang ringan dan minum air kosong.

Sayur kangkung, walaupun mempunyai pelbagai jenis nutrisi, tidak berupaya untuk mengubati virus korona baharu.

Bagaimana pula dengan nasihat kerap mandi bagi elak jangkitan?

Pakar perubatan di seluruh dunia bersetuju bahawa amalan cuci tangan yang kerap dapat menghindarkan penularan jangkitan. Seperti isu sayur kangkung, tiada bukti yang mengatakan bahawa mereka yang mandi terhindar daripada jangkitan berbanding dengan mereka yang mencuci tangan.

Apa yang sering diperbincangkan adalah beza di antara penggunaan air dan sanitizer dalam menghindarkan jangkitan ini. Jika anda ingin mandi dengan lebih kerap, tiada salahnya. Namun, tiada bukti yang menunjukkan perkara tersebut boleh menurunkan risiko untuk mendapat jangkitan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, orang ramai bebas untuk mengikuti nasihat yang diberikan oleh pakar lain namun kerajaan tetap akan menggalakkan untuk menurut panduan rasmi yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai individu yang bertanggungjawab, anda perlu menimbang kebenaran fakta yang disebarkan dengan kajian dan maklumat. Terdapat pelbagai jenis laman web yang menampilkan fakta kesihatan. Semuanya di hujung jari.

Adakah sayur kangkung tidak patut diambil? Penulis tidak maksudkan begitu. Ia mempunyai khasiat yang pelbagai dan sepatutnya diambil. Namun kita harus perbetulkan tujuan dan kepercayaan kita terhadap sesuatu perkara.

Kesimpulannya 

Walaupun tiada kajian yang membuktikan kebenaran di sebalik sayur kangkung yang dianggap mampu mengubati virus korona baharu, ia seharusnya diambil bagi mendapatkan khasiatnya.

Pengambilan makanan berserat di Malaysia masih lagi rendah jika dibandingkan dengan saranan kerajaan yang menggalakkan 5 hidangan setiap hari. Namun, jika anda dijangkiti dengan virus korona baharu, jangan berharap dengan pengambilan sayur kangkung mampu menyembuhkan penyakit ini. Tiada bukti yang menunjukkan sedemikian.

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

P/S: Keadaan semakin membimbangkan. Tapi .... ehhh sayur kangkung belacan sedapnya kan!!

8 comments:

  1. Bukan mengubati tetapi sebagai imun daripada serangan sebarang penyakit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haa begitulah Wak hehehe...kita sekadar berkongsia aje..

      Delete
  2. Fiza ni liat betul nak makan sayur. Ni kena paksa jugak la. Sayur apa pun banyak kebaikan untuk kesihatan kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yaaa Faizzah kena makan, time gini haaa sayur lebih elok makan bebanyak..

      Delete
  3. Banyakkanlah makan sayur..i love sayur!
    Tapi kangkung ni..ada orang geli nak makan..hahaa
    Saya telan je, asalkan basuh bersihhh ~ kah3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha pebende lee ko, kalau geli batangnya di kerat dua, jangan di masak sebatang-sebatang gitu, takut dalam batang ada mahkluk halus hahahahaa

      Delete
  4. sedap ooooo kangkung goreng belacan ^_^

    ReplyDelete
    Replies
    1. Khennn lagi goreng basah-basah letak ikan asin sikit, perghhh

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.