JANGAN ASYIK MAKAN PANADOL AJE

JANGAN ASYIK MAKAN PANADOL AJE | Korang biasa kalau sakit mesti makan panadol kan? Sakit sikit makan panadol, sakit je panadol juga di telan, tu dah macam Emaknya Sis, panadol tu dah macam kawan baik. Kadang marah tegur pun, ermm tak jalan, biasalah orang tua kan.

Sejujurnya Sis memang tak gemar makan ubat atau panadol ni, dan jarang sangat Sis makan panadol jika sakit. Bukan tak makan ubat, tapi Sis cuba elakkan. Ubat yang Sis makan sekarang pun adalah ubat rutin yang Doktor bagi, tapi kalau sakit tiba-tiba datang tu, haa jarang Sis nak telan ubat. Bila datang sakit tu, Sis cuba bawa tidur, rehat dan minum air masak bebanyak, kemudian bila sedar, kalau rasa dah okay, alhamdulilah, selamat dah tak payah makan panadol. Kalau tak okay juga sakit, baru pergi Klinik check.

Bukan takut makan ubat, tapi atas pengalaman arwah Abah Sis dulu yang suka makan panadol. Memang faham dia sakit, tapi jenis makan tak ikut dos, sakit je dia makan, asal sakit je dia makan. Sampaikan Abah Sis punya buah pinggang jadi rosak. Memang panadol jadi teman dia, kemudian dah tak tahan sakit, makan painkiller tahap dos tinggi pulak, dan selepas tu bila Abah sakit, badan Abah jadi bengkak membesar, masuk wad, dan Doktor kata kena keluarkan air dari badan Abah.

Bila air dalam badan Abah dah keluar, dalam kantung air tu penuh serdak-serdak macam habuk, Sis tanya apa tu, Doktor tu kata ubat-ubatan, errrrkkk takut tak? Memang takut. Sejak tu laa Sis memang agak sukar nak telan ubat atau panadol kecuali kalau betul-betul dah tak tahan sakit.

Ini bukan auta tapi fakta. Panadol tu boleh makan, memang dia ubat untuk melegakan kesakitan, tapi amik dengan cara yang betul dan jangan terlebih dos.

Di sini Sis nak kongsikan apa baik dan buruknya makan panadol tu ya. Korang rajin sikit membacanya, ilmu ni.

Sumber : MyHealth


Paracetamol atau Panadol

Paracetamol atau lebih dikenali dengan pelbagai nama dagang contohnya Panadol™ atau Uphamol™ telah lama berada dalam pasaran di Malaysia. Ia digunakan secara meluas sebagai ubat demam dan ubat tahan sakit. Kebanyakan rakyat di Malaysia tahu cara pengambilan paracetamol. Di Malaysia, paracetamol boleh diperoleh dengan mudah di mana-mana kedai runcit, pasar raya atau kedai farmasi.

Paracetamol adalah selamat dan berkesan untuk menurunkan suhu badan yang tinggi akibat demam sekiranya diambil dalam kuantiti seperti yang disyorkan pada label. Walau bagaimanapun, paracetamol boleh mendatangkan mudarat sekiranya diambil dalam kuantiti yang berlebihan.

Paracetamol juga berkesan diambil untuk mengawal kesakitan ringan dan sederhana, sebagai contoh kesakitan yang disebabkan oleh penyakit osteoarthritis, migraine atau sakit kepala. Walau bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya menggunakan paracetamol untuk jangka masa yang panjang. Paracetamol juga boleh didapati dalam bentuk campuran dengan bahan terapeutik yang lain seperti antihistamin yang memberi kelegaan dalam keadaan demam dan selesema.

Apakah Kegunaan Paracetamol?

Paracetamol digunakan untuk melegakan sakit (atau ketidakselesaan) yang disebabkan oleh: sakit kepala, sakit gigi, sakit disebabkan oleh artritis, sakit otot, osteoarthritis, senggugut dan demam.

Dos dan Pengambilan

Paracetamol biasanya diambil secara oral dalam berbagai jenis sediaan seperti suspension (serbuk larut air), tablet, atau tablet larut air. Paracetamol juga dihasilkan dengan kepekatan yang berbeza-beza. Bagi pesakit yang mempunyai masalah untuk pengambilan secara oral, paracetamol jenis supositori boleh diambil.

Bagi tujuan pengubatan kendiri, penggunaan Paracetamol tidak digalakkan melebihi daripada 10 hari berturut-turut bagi dewasa dan 5 hari bagi kanak-kanak melainkan diarahkan oleh doktor. Paracetamol juga tidak boleh diambil melebihi 3 hari dalam keadaan demam tinggi melainkan dengan khidmat nasihat perubatan.

Dos biasa bagi dewasa adalah 500mg setiap 4 hingga 6 jam atau 1g setiap 4 hingga 6 jam apabila diperlukan. Jumlah dos seharian tidak boleh melebihi 4g.

Sebelum anda mengambil Paracetamol

Paracetamol adalah selamat jika diambil dalam dos yang disyorkan. Pastikan anda tidak mengambil lebih dari satu persediaan yang mengandungi paracetamol pada satu-satu masa. Periksa label ubat yang diambil bagi mengelakkan anda mengambil dos yang berlebihan. Label ubat biasanya akan tertera bahan-bahan yang terkandung bagi memudahkan anda mengetahui isi kandungan ubat yang diambil.

Ambil langkah berhati-hati apabila memberi paracetamol kepada kanak-kanak. Anda perlu tahu bahawa sediaan paracetamol untuk kanak-kanak mempunyai kekuatan yang berbeza dengan persediaan untuk orang dewasa.

Paracetamol untuk kanak-kanak biasanya dalam bentuk cecair atau sirap. Pastikan anda membaca label pada botol persediaan sebelum memberikannya kepada anak anda. Label pada botol persediaan biasanya akan menerangkan dos yang sesuai untuk kumpulan umur kanak-kanak yang tertentu.

Pastikan anda membacanya dengan teliti dan memberikan anak anda dos yang betul mengikut kumpulan umurnya. Elakkan dari mengagak dos yang sesuai untuk anak anda.

Kesan sampingan/kesan advers

Kebanyakan pesakit yang mengambil paracetamol tidak mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers. Walau bagaimanapun, segera maklumkan kepada doktor anda sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan yang serius seperti risiko pendarahan yang semakin banyak, lebam atau tanda-tanda jangkitan seperti demam dan sakit tekak.

Pengambilan paracetamol secara berterusan atau pengambilan paracetamol melebihi daripada dos yang disyorkan boleh menyebabkan penyakit pada hati. Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya anda mendapati tanda-tanda kerosakan hati seperti loya dan muntah yang kerap, mata dan kulit kekuningan, urin berwarna gelap, sakit perut/abdomen dan kepenatan yang melampau.

Kejadian alahan juga jarang berlaku dalam pengambilan paracetamol, walau bagaimanapun jika berlaku, perhatikan simptom alahan seperti gatal, ruam, bengkak (muka/lidah/tekak), pening dan susah bernafas.

Bagi keadaan pengambilan melebihi dos atau keracunan, dapatkan rawatan perubatan walaupun tiada tanda keracunan dikesan. Kesan keracunan mungkin lambat untuk dikesan bagi keracunan paracetamol.Pesakit mungkin tidak mengalami tanda serta-merta tetapi tanda keracunan mungkin akan muncul beberapa hari kemudian. Rawatan awal dapat mengelakkan kerosakan kekal pada hati.

Tindak balas dengan ubat-ubatan

Pastikan bahawa doktor atau ahli farmasi anda mengetahui senarai ubat-ubatan yang anda ambil bagi mengelakkan kemungkinan berlaku tindak balas di antara ubat-ubatan yang diambil.

Terlupa dos

Dos Paracetamol biasanya diambil apabila perlu bergantung kepada keadaan pesakit. Walau bagaimanapun, sekiranya anda diarahkan untuk mengambil ubat dalam jangka masa tertentu dan terlupa, ambil sebaik sahaja anda teringat, tetapi sekiranya waktu pengambilan dos yang berikutnya adalah hampir, ambil ubat pada waktu pengambilan yang berikutnya. Jangan gandakan dos anda.

Penyimpanan

Simpan semua ubat-ubatan anda jauh daripada cahaya dan kelembapan dan jangan simpan di dalam bilik air. Ubat juga perlu disimpan jauh daripada kanak-kanak.


P/S: Jaga kesihatan ya korang. Cegah sebelum parah! ..

16 comments:

  1. 'Anda fikir saya ada masa untuk sakit kepala'

    ReplyDelete
  2. Uish, kepenatan melampau pun one of effect dari makan panadol eh~
    Serammmnya..
    Moga sihat selalu sis...tiba2 sy raa takut gak...Hrap2 tak salu sakit sampai kena telan panadol............kadang2 senggugut pun ada org telan panadol

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yaaa @Nona, banyak sebab buruknya kalau kita main bedal je makan. Sis dah kawal sangat untuk makan panadol ni, takut...

      Delete
  3. kalau makan dengan kuantiti yang betul dan jangan jadi tabiat...in insha Allah paracemol cukup meembantu..

    saya paling kurang telan ubat dan inilah nikmat yang Allah kurniakan kepada saya..

    walaupun tahu usia masih muda la sangat ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yaa benar Tuan @Hanafi, kena makan dengan kadar dos yang betul, jangan asal sakit je telan panadol...

      Delete
  4. iha jarang ambil panadol, makan ubat bila betul2 sakit. Janji rehat cukup. Kalau tak cukup tidur atau terlalu sakit baru ambil sebiji dua itupun selang beberapa hari. Bukan takut nak makan ubat, ubat yang wajib makan setiap hari pun boleh lupa 😂

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha ayat last ko tu @Iha lawak sangat hehehe. Jangan abaikan ubat Iha, jaga kesihatan ya..

      Delete
  5. Betul tu sis..banyak bahayanya makan paracetamol x ikut had yg di di sarankan doc ..SA dulu rajin gak makan panadol..tp bila baca bab x baik tentang panadol terus stop..ni risau kat abah je skrg ..asyik makan panadol...x boleh sakit sikit makan panadol...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kannn sebab Sis dah ada dulu arwah Abah macamtu, sakit sikit panadol jadi teman dia, kita juga kena alert ni..bawa berehat dulu kalau sakit, tak tahan baru makan sebiji dua..

      Delete
  6. panadol ni antara ubat yang wajib ada kat rumah...tapi tak lah diamalkan secara berlebihan...ambil bila betul2 perlu aje, sakit kepala yang tak tertahan sangat baru makan...lepas tu tido..bangun tido alhamdulillah dah baik...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yaaa, boleh makan sebab panadol melegakan kesakitan, cuma jangan makan berlebihan aje, nanti mudaratkan kesihatan @Sunah ..

      Delete
  7. Fiza memang tak amalkan makan panadol ni. selagi boleh tahan sakit memang bertahan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama juga Sis @Azhafizah, bawa tidur, kalau sedar sakit juga, baru makan ubat, dalam beberapa jam sakit juga, memang kena pergi Klinik..

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.