SHOPEE BANTU PENJUAL TEMPATAN TINGKATKAN JUALAN DENGAN LEBIH BANYAK CIRI KOLABORATIF

SHOPEE BANTU PENJUAL TEMPATAN TINGKATKAN JUALAN DENGAN LEBIH BANYAK CIRI KOLABORATIF | SHOPEE kongsikan inisiatif dan sumber untuk menyokong perniagaan tempatan di Seller Summit 2022. Shopee berusaha untuk membantu para penjual tempatan menarik lebih ramai pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada untuk kembali membuat pembelian pada platform dengan alat pemasaran penjual baharu dan bersifat lebih kolaboratif.

Menurut Kavan Sito, Pengarah Shopee Malaysia, mulai S3 tahun ini, semua penjual bakal meluaskan jangkauan mereka menerusi lebih 13,000 rakan affiliate Shopee untuk menambahbaik keterlihatan serta meningkatkan jualan melalui Shopee Affiliate Marketing Solution (AMS).

Rakan kongsi affiliate termasuk influencer media sosial, platform kupon dan pulangan tunai, platform perbandingan harga dan penerbit kandungan. Penjual terpilih yang menyertai AMS antara bulan Oktober dan Disember tahun lalu mencapai hingga 16 kali ganda pulangan atas pelaburan pengiklanan mereka.

Berucap di Shopee Seller Summit pada 16 Jun, Sito berkata bahawa ulasan atau review daripada pengguna adalah penting untuk membantu mewujudkan kepercayaan dan daya tarikan untuk produk dalam talian. Oleh itu, Shopee juga akan membolehkan para penjual memberi ganjaran kepada pengguna yang memberi ulasan produk yang berguna.

Selain itu, platform itu juga akan mempertingkatkan ciri baucarnya yang akan membolehkan para penjual memberi insentif kepada pembeli baharu serta memberi ganjaran kepada pembeli sedia ada yang kembali membuat pembelian atas kesetiaan mereka.

“Ini adalah antara banyak ciri pemasaran penjual inovatif yang akan dilancarkan oleh Shopee dalam beberapa bulan akan datang untuk membantu para penjual memacu pertumbuhan perniagaan jangka panjang,” kata Sito.



Shopee Seller Summit yang bertemakan “Level Up: Driving Growth Together” telah diadakan di Sunway Resort, Petaling Jaya. Acara tersebut telah menarik 500 peserta fizikal dan hampir 2000 peserta maya.

Sito berkata, “Shopee kekal komited untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasakan perniagaan tempatan. Selain daripada modul latihan percuma yang disediakan melalui Shopee University, Shopee berbesar hati menjadi rakan kepada agensi kerajaan yang dipercayai untuk menyokong komuniti tempatan serta memacu inisiatif latihan yang membantu meningkatkan kemahiran perniagaan tempatan. Ini termasuk memberi sokongan kepada semua jenis penjual, malah kira-kira 5,000 usahawan pelajar universiti memulakan perjalanan perniagaan dalam talian mereka melalui inisiatif Siswa Mall dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.”

Shopee Seller Summit juga merupakan sebahagian daripada inisiatif #ShopeeSapotLokal yang bertujuan memacu inklusiviti dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti tempatan. Kelvin Yam, 46 tahun, seorang penjual di Shopee yang mengendalikan kedai alat tulis, CX Trading merupakan seorang pengguna tegar program-program Shopee seperti Facebook Collaborative Ads (CPAS) dan Seller Affiliate Programme. Beliau berkata bahawa program-program tersebut bukan sahaja memberi insentif kepadanya untuk memasarkan produk Shopee di Facebook, tetapi turut membantu meningkatkan purata jualan bulanannya sebanyak lebih daripada dua kali ganda.

“Program-program ini sangat membantu dalam meningkatkan perniagaan Shopee saya kerana saya melihat peningkatan jualan hampir 5 kali ganda. Saya kini menjana purata jualan bulanan sebanyak kira-kira RM50,000,” kata Yam.

Seorang lagi penjual, Ammar Izzuddin, 33, percaya bahawa selain menambah ilmu, seseorang juga perlu menjalin rangkaian kenalan dan belajar daripada penjual lain untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam penjualan.

Ammar yang menjual produk bayi di Shopee berkata, “Melalui peluang meluaskan rangkaian kenalan di Shopee Seller Summit, saya memperoleh pandangan tentang cara para penjual lain menyusun strategi dan meramalkan peluang perniagaan, serta mengurus sumber mereka. Ini semua sangat bermanfaat demi membantu kami memahami cara kami dapat melakukan yang lebih baik dan mengembangkan perniagaan dalam jangka panjang.”

Ammar merupakan peserta setia Shopee Seller Summit selama empat tahun berturut-turut. 

Para penjual yang ingin menyampaikan kemahiran dan pengetahuan mereka boleh menyertai program ShopeeXperts, di mana permohonan program akan dibuka pada awal bulan Ogos tahun ini. Melalui program ini, penjual berprestasi tinggi terpilih akan diberi latihan selama sebulan dalam kemahiran pemasaran, operasi, jualan dan pembentangan. 

Ini merupakan peluang untuk mewujudkan kredibiliti sebagai seorang jurulatih yang berkelayakan serta dapat membantu para penjual lain dalam memacu pertumbuhan perniagaan mereka.


P/S: Sis ada gak akaun Shopee, dulu memang daftar sebagai penjual, tapi sekarng dah jadi pembeli hahahahaha.. 

0 Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

Post a Comment (0)