Header Ads


SELAMAT MENYAMBUT PESTA KAAMATAN


SELAMAT MENYAMBUT PESTA KAAMATAN | Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi.

Tadau Kaamatan merupakan perayaan oleh masyarakat Kadazan di Negeri Sabah pada bulan Mei setiap tahun setelah selesai musim menuai padi. Sempena sambutan perayaan Tadau, mereka menyediakan makan minum seperti kuih-muih dan air tapai.

Perayaan kemuncak ini kebiasaannya diadakan selama dua malam berturut-turut (pada 30 dan 31 Mei), di mana malam pertama diadakan upacara ‘magavau’ atau pemujaan semangat padi yang diketuai oleh ‘bobohigan’ dan beberapa orang pembantunya. Manakala pada malam kedua, diadakan upacara ‘habot’ iaitu beras yang diperam diberikan kepada bobohigan sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. Para tetamu akan dihiburkan dengan tarian ‘Sumazau’ dan ‘Megalang’ sambil meminum air tapai.

Asal Usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama.

Menurut cerita lisan, Kinoingan (Tuhan) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya.

Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih p adi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".

Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi.

Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya (Kinoingan) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

Kini Kaamatan bukan saja perayaan khusus untuk masyarakat KDM, malah dianggap sambutan penting yang dimeriahkan bersama masyarakat pelbagai kaum di Sabah hingga menjadikannya perayaan perpaduan yang berjaya menyatukan rakyat.


SELAMAT MENYAMBUT PESTA KAAMATAN..

Sis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan kepada kaum Kadazandusun di Sabah kepada kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak.

Kopivosian Tadau Ka'amatan’ dan ‘Gayu Guru Gerai Nyamai’.


P/S: Kawan Sis kata, tahun ni mesti suram je, takde perayaan sambutannya... 

No comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.