APA ITU DEMAM DENGGI?

Sis Lin
10
APA ITU DEMAM DENGGI? | Sejak-sejak ni banyak sangat kes demam denggi di sana sini kan? Tak terkecuali juga di tempat perjiranan Sis sini, rasanya baru 2 minggu lepas tempat Sis kena semburan aedes. Biasa kalau ada semburan aedes, mesti ada kes denggi. Takut plak kita.

Denggi ni kadang, kita jagalah macam mana persekitaran kita, tapi nyamuk aedes tu tak semestinya dari rumah kita. Mungkin dari rumah jiran, dari kawasan hutan, tempat yang semak, atau mana-mana aje la yang memang berisiko ada tempat pembiakan aedes. Baik nampak atau pun tersembunyi.

Cuma yang pentingnya #KitaJagaKita, sentiasa awasi persekitaran rumah kita, supaya bersih, tidak ada tempat takungan air dan juga pokok-pokok yang terlalu semak di satu sudut, haaa nyamuk suka tu duduk tempat semak bergelap gitu kan.

Sebab tu Sis berkebun menanam pokok di taman mini Sis, Sis limitkan, taknak terlalu banyak dan padat sangat dengan pokok, cukuplah sekadar hijau mata memandang ye udah.

Apa Itu Demam Denggi?


Demam Denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus denggi bawaan spesies nyamuk Aedes aegypti dan juga (walaupun sedikit dan jarang berlaku) spesis nyamuk Aedes albopictus. Lebih tepat lagi, nyamuk yang menjadi ejen penyebaran penyakit ini adalah nyamuk betina yang ingin mendapatkan protein dalam bentuk haemoglobin pada darah manusia.

Apabila dijangkiti, seseorang itu berupaya untuk mengalami simptom-simptom seperti demam panas, sakit kepala, muntah, sakit perut, sakit sendi dan otot dan juga ruam pada sebahagian anggota badan. Terdapat tiga fasa dalam demam denggi iaitu fasa demam (fasa pertama), fasa kritikal (fasa kedua) dan akhir sekali, fasa kebah demam (fasa ketiga dan yang terakhir).



Lazimnya, seseorang yang mengalami demam denggi akan sembuh dengan sendirinya setelah tempoh kira-kira seminggu. Namun yang demikian, terdapat segelintir yang kurang bernasib baik, akan menjadi bertambah teruk di mana demam denggi mereka berubah kepada demam denggi teruk dan/atau demam denggi berdarah.

Apabila paras platelet dalam darah jatuh terlalu rendah dan pendarahan spontan yang banyak mula berlaku, tekanan darah pesakit tersebut akan jatuh dan mereka berisiko untuk mendapat sindrom kejutan denggi (dengue shock syndrome).

Asalnya terdapat 4 jenis serotaip untuk virus denggi ini (DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4). Namun yang demikian, sekitar bulan Oktober 2013, satu lagi jenis serotaip virus denggi berjaya dikenal pasti, menjadikan keseluruhan jenis serotaip yang ada menjadi 5.

Apabila seseorang itu dijangkiti oleh satu serotaip virus denggi, sistem imun mereka akan menghasilkan antibodi untuk melawan jangkitan daripada virus denggi daripada serotaip yang sama untuk jangka masa yang panjang. Dalam masa yang sama, imuniti jangka pendek akan terhasil untuk serotaip yang lain. Komplikasi demam denggi yang membawa kepada denggi teruk dan akhirnya kematian, lazimnya disebabkan oleh jangkitan sekunder oleh serotaip yang berbeza.

Bagaimana Demam Denggi Didiagnosis?

Diagnosis demam denggi lazimnya disyaki berdasarkan tanda-tanda klinikal. Ini membabitkan sejarah pesakit, simptom-simptom dan juga tanda-tanda yang dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa penyakit lain yang mampu menghasilkan profil yang hampir sama, khususnya bagi jangkitan virus lain dan juga jangkitan kencing tikus.

‘Berkemungkinan sebagai Denggi’ merupakan satu diagnosis sementara yang diberikan kepada pesakit di kawasan endemik Denggi, yang mempunyai demam panas bersertakan mana-mana dua tanda lain daripada berikut:

  • Loya dan muntah.
  • Ruam di sebahagian badan.
  • Rasa sakit sendi dan otot yang menyeluruh.
  • Paras sel darah putih dalam darah yang rendah.
  • Positif ujian tourniquet.
  • Mana-mana tanda amaran denggi.

Tanda-tanda amaran denggi lazimnya muncul sebelum bermulanya simptom denggi yang teruk (fasa kritikal). Ujian tourniquet bukanlah sesuatu yang kerap diamalkan namun, dalam keadaan di mana ujian makmal tidak mudah diakses, ianya bertindak sebagai saringan yang mudah dan pantas.

Perubahan terawal yang boleh dikesan melalui ujian makmal adalah penurunan paras sel darah putih, yang kemudiannya diikuti oleh paras platelet yang menurun dan juga kewujudan asidosis metabolik. Diagnosis demam denggi perlu dijadikan sebagai salah satu diagnosis dalam fikiran seorang doktor apabila berdepan dengan pesakit yang menghidap demam panas dalam tempoh 2 minggu selepas pulang daripada mana-mana negara tropika.



Dalam penyakit demam denggi yang teruk, kebocoran plasma boleh berlaku menyebabkan darah menjadi pekat (berdasarkan bacaan hematokrit) dan juga paras albumin dalam darah menjadi rendah. Apabila kebocoran ini terlalu banyak dan air terkumpul dalam ruang tambahan antara sel, ianya boleh dikesan sebagai air dalam paru-paru (pleural effusion) ataupun air di dalam ruangan di sekitar abdomen (ascites).

Ujian makmal boleh melibatkan ujian berteraskan isolasi virus dalam kultur sel, pengesanan asid nukleik menggunakan kaedah PCR, pengesanan antigen virus (seperti ujian NS1) ataupun ujian berteraskan antibodi (serologi). Ianya berupaya untuk memberikan kepastian diagnosis dan berdasarkan fasa dan hari tertentu, terdapat ujian yang berbeza-beza yang boleh digunakan.

Sup Ketam Mampu Merawat Denggi?


Ramai rakyat Malaysia mempercayai bahawa sup ketam mampu untuk merawat penyakit demam denggi. Pendapat berkaitan manfaat sup ketam ini telah lama berada dalam kepercayaan masyarakat setempat namun, adakah ianya benar bahawa hidangan sup ketam berupaya untuk memulihkan seseorang itu daripada penyakit demam denggi?

Jawapan mudah dan singkat untuk peranan sup ketam sebagai rawatan untuk demam denggi ini adalah ‘ianya tidak benar’.

Sekurang-kurangnya, mitos alternatif lain untuk rawatan denggi seperti pengambilan jus daun betik mempunyai kajian untuk menunjukkan ianya mampu untuk mengekalkan atau menaikkan paras platelet dalam darah. Sup ketam tidak langsung mempunyai sandaran saintifik untuk mengatakan bahawa ianya membantu dalam menyembuhkan seseorang yang menghidap demam denggi.

Kajian berkaitan peranan jus daun betik itu juga mempunyai beberapa kekurangannya. Sebagai contoh, kajian tersebut hanya membabitkan pesakit yang mengalami demam denggi tahap sederhana dan ke bawah. Sekiranya seseorang itu mengalami demam denggi teruk, terdapat kemungkinan bahawa keputusan akhirnya mungkin tidak sama dan pesakit berupaya untuk mati. Tambahan lagi, peningkatan paras platelet tidak mencerminkan kadar kesembuhan.

Ini kerana paras platelet bukanlah satu-satunya parameter yang diperhatikan untuk memberi gambaran penuh tahap demam denggi tersebut dan juga ianya bukanlah punca mengapa pesakit demam denggi menemui ajal mereka. Sebaliknya, kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma. Komplikasi yang cukup digeruni, yakni demam denggi berdarah, berlaku bukan kerana paras platelet dalam darah yang rendah. Ianya disebabkan oleh sindrom kejutan denggi (shock) yang bermaksud tekanan darah rendah.

Ketaksuban dan penyebaran mitos peranan rawatan alternatif seperti pengambilan sup ketam dan juga jus daun betik ini merupakan sesuatu yang berbahaya untuk beberapa sebab. Pertamanya, publisiti yang diberikan terhadap jus daun betik sebagai kaedah alternatif untuk meningkatkan platelet darah hanya menutupi punca sebenar kematian akibat demam denggi. Ini boleh menyebabkan kekeliruan untuk masyarakat am tentang punca sebenar kematian dalam penyakit demam denggi.

Selain itu, kepercayaan yang kuat terhadap peranan rawatan alternatif seperti ini akan melengah-lengahkan pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dilakukan dengan segera. Dalam kes demam denggi, masa adalah penting. Sekiranya pesakit mendapatkan rawatan awal di hospital dan diberikan cecair intravena, risiko kematian boleh dielakkan.

Sehingga kini, tiada rawatan yang khusus untuk melawan virus denggi. Sebaliknya rawatan yang ada seperti saluran intravena dan juga span tepid bertujuan untuk mengawal simptom akibat demam denggi dan mencegah daripada berlakunya komplikasi yang tidak diingini.

Langkah Pencegahan yang Boleh diambil

Untuk penyakit yang tidak mempunyai rawatan yang khusus seperti penyakit demam denggi ini, langkah pencegahan adalah penting bagi menghapuskan terus kemungkinan anda untuk dijangkiti.

Korang boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan diri korang daripada terkena gigitan nyamuk dengan:

  • Gunakan ubat nyamuk.
  • Gunakan kelambu semasa tidur. Gunakan ‘repellent’ jika perlu.
  • Elakkan aktiviti semasa nyamuk aktif menggigit (5.30 pagi-8.00 pagi dan 5.30 petang-8.00 malam).
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang apabila keluar dari rumah.
  • Pasang jaring halus (mosquito mesh) di tingkap dan pintu.

Untuk memelihara keluarga di sekitar kediaman korang daripada menghidap demam denggi, korang disarankan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk. Ianya boleh dilakukan dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  • Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekeliling rumah. 
  • Musnahkan semua bekas yang boleh menakung air hujan atau lebihan air, terutamanya di besen, tayar lama, bekas bunga, bekas plastik dan tong. Jika tidak boleh dimusnahkan, letakkan bahan pembunuh jentik-jentik di bekas tersebut.
  • Kerap tukar air pada bekas minuman haiwan peliharaan.

Jika anak korang disyaki mengalami sakit denggi dan dipantau sebagai pesakit luar (tidak dimasukkan ke wad), bawa anak korang segera ke hospital/ klinik jika mereka mengalami:

  • Muntah berlarutan/berpanjangan.
  • Sakit perut.
  • Kurang bermaya/sawan.
  • Sesak nafas.
  • Pucat/sejuk pada tangan dan kaki.
  • Pendarahan: daripada gusi/hidung, muntah darah, najis berdarah dan tanda-tanda merah pada kulit.

Demam denggi adalah satu penyakit yang sangat boleh dicegah namun ianya masih menyebabkan kematian dan juga kehilangan produktiviti rakyat Malaysia setelah sekian lama. Peranan pendidikan dan kesedaran perlu diperkasakan bagi memastikan rakyat Malaysia cakna dengan pembiakan nyamuk aedes, berupaya untuk memahami proses penyakitnya, mampu untuk memisahkan mitos seperti sup ketam daripada fakta sebenar dan juga supaya mereka mampu mengambil tindakan yang cepat sekiranya disyaki menghidap demam denggi.

Pencegahan adalah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak. Dengan mengenal pasti serotaip tambahan untuk virus denggi, ini boleh menyebabkan vaksin untuk virus ini memerlukan masa yang lama untuk dihasilkan bagi memastikan ianya mampu untuk memberikan perlindungan yang efektif. Sekiranya korang ada sebarang kekeliruan berkaitan penyakit demam denggi, bertanyalah dengan doktor korang bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mencukupi.

Jika korang mengesyaki korang mempunyai mana-mana tanda yang disebut dalam artikel ini, pastikan korang segera ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan rapi dan ujian makmal yang tepat demi mengetahui sama ada korang benar-benar menghidap penyakit demam denggi ataupun penyakit lain. Diagnosis yang awal membolehkan rawatan dan pemerhatian awal dilakukan.

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung 
Oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab


P/S: Seumur hidup Sis ni, baik Sis mahupun family Sis, belum ada yang pernah kena, moga Allah pelihara kami semua..aamiinn

Post a Comment

10Comments

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging.

  1. Mudah2an kita dihindarkan daripada wabak denggi ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiinn..mudah-mudahan Wak...sangat takut juga sekarang ni..

      Delete
  2. adik pompuan aku dua orang pernah kena tapi tahap sederhana je dan home surveillance..tak pernah la kena tahan wad..kena rawat diri sendiri untuk stabilkan platlet darah..aku bagi la jus daun betik tu..pahit yauuuuu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Uitt ye ke..yang daun betil tu ada benarnya kalau apa yang Hello Doktor kata, cuma sup ketam tu jee haaa...

      Delete
  3. penah melaluinya dan kerananya la pertama kali bermalam di wad hospital.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kata orang sakit ye Shai kena denggi ye?...

      Delete
    2. ye. tahun 2014/2015 kalau tak silap.

      Delete
    3. Tu leee, banyak aku baca kata semua sakit kalau kena denggi ni...minta dijauhkan kita-kita ni..

      Delete
  4. Moga kita semua dijauhi dari denggi ni

    ReplyDelete
Post a Comment

#buttons=(Ok, Go it!) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Ok, Go it!