MENGAPA KORANG PATUT MAKAN ULAM?


MENGAPA KORANG PATUT MAKAN ULAM? | ADA di sini yang tak pandai dan tak makan ulam? Tapi kalau jenis tak makan sayuran, dah tentunya laa tak makan ulam-ulaman kan? Tapi ada juga yang tak makan sayur, tapi pandai makan ulam, tu pun bagus. Sebab ulam dan sayur adalah dua benda yang sama khasiatnya. Cuma dalam kehidupan pemakanan seimbang, kita perlu amik sayur, ada faham?..

Jujurnya masa Sis sekolah rendah lagi, family Sis memang dah di ajar oleh arwah Atuk, Mak dan Abah Sis, tiap kali makan, paling tidak mesti ada ulam, walaupun hanya timun aje. Kalau meriah, ada le bendi, ulam raja, kobis, kacang panjang dan dedaun hijau ulam.. nak tak nak, kena le cuit amik makan. Lama kelamaan, jadi biasa le, sampailah dah kawin ni haa.. 

Mengapa Korang Patut Makan Ulam?

Apa itu Ulam-ulaman?

Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain. Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.

Di Malaysia, lebih daripada 120 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman, daripada tumbuhan herba kecil dan melata, jenis semusim seperti pegaga, sehinggalah kepada pokok-pokok renek dan pokok-pokok besar jenis saka seperti petai, jering, genuak dan kerdas, yang biasanya tumbuh liar di kawasan pedalaman, di dusun atau di hutan belantara.

Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terang juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja. Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat.

Berikut merupakan beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:

1. Ulam Raja 

Ulam Raja

Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat. Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.

Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.

2. Sambung Nyawa

Sambung Nyawa

Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.

Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan ulam-ulaman ini mempunyai khasiat untuk menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.

3. Daun Selom

Daun Selom

Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.

Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering. Ulam ini juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.

4. Cekur

Cekur

Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.

Selain di makan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).

5. Pegaga

Pegaga

Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda. Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa ulam-ulaman ini mempunyai khasiat yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.

Maka tidak hairanlah kini ekstrak pegaga digunakan dalam produk krim muka, dikenali sebagai cica cream yang boleh didapati daripada jenama-jenama produk terkenal.

6. Daun Kaduk

Daun Kaduk

Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.

Daun yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.

7. Petai

Petai

Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah. Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.

Dalam perubatan tradisional Melayu, buah petai dipercayai berkesan dalam merawat penyakit jantung dan kencing manis selain membersihkan buah pinggang. Digabungkan dengan serat, petai memberikan rangsangan tenaga yang cepat, berterusan dan mencukupi. Penyelidikan telah membuktikan bahawa dengan hanya dua hidangan petai menyediakan tenaga yang mencukupi untuk latihan berintensiti tinggi selama 90 minit.

Salah satu kesan sampingan utama ketika memakan petai adalah ia memberikan nafas yang agak berbau dan gas perut yang berbau. Ia mengandungi asid amino tertentu yang memberikan bau yang kuat kepada air kencing seseorang, kesan yang dapat dilihat sehingga dua hari selepas pengambilan dalam pemakanan.

8. Jering

Jering

Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering. Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes. Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.

Tetapi, dalam masa yang sama, pengambilan jering boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru dan pankreas pada haiwan normal. Oleh itu, pengambilan jering hendaklah secara terkawal.

Mengapa korang patut makan ulam?

Sebenarnya terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang popular seperti rebung buluh, pucuk betik, kacang botol dan peria katak. Semuanya mempunyai pelbagai rasa yang berbeza untuk korang terokai.

Tahukah korang, sehingga kini, kebanyakan ulam-ulaman tidak ditanam secara komersial? Ini bererti pelengkap hidangan ini kebanyakannya merupakan tumbuhan liar yang dipetik sendiri oleh penjual atau ditanam sendiri oleh pengguna tempatan.

Jadi, bayangkan sahaja khasiat ulam-ulaman yang tumbuh dalam persekitaran semula jadinya, tanpa menggunakan racun serangga. Ini juga bermakna kebanyakan tumbuh ini dapat bertahan daripada serangga perosak. Tanaman selom, contohnya, didapati tidak mempunyai sebarang penyakit dan serangga perosak yang direkodkan.

Selain itu, mengamalkan pengambilan ulam juga mencipta permintaan pasaran kepada hidangan yang kian ditelan zaman ini. Apatah lagi, sesetengahnya merupakan spesis tumbuhan yang kian berkurang sepertimana dalam rekod International Union for Conservation of Nature. Permintaan pasaran akan menggalakkan usaha penanam semula oleh petani tempatan walaupun sekadar kecil-kecilan.

Pengambilan ulam-ulaman yang selalu digandingkan dengan pencicah juga meningkatkan manfaat amalan pemakanan ini.

Pencicah seperti cincalok, budu, sambal belacan dan tempoyak semuanya dihasilkan melalui proses fermentasi, menghasilkan produk kaya dengan probiotik atau bakteria baik yang membantu sistem penghadaman badan.

Mengapa Korang Patut Makan Ulam?

Mungkin, bagi sesetengah ahli masyarakat, pengambilan ulam-ulaman dan pencicahnya dilihat sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Sementara pemakanan salad yang dipopularkan kulinari barat kelihatan lebih hipster dan moden.

Hidangan salad walaupun sihat, kadangkala ditambah sos dressing komersial siap yang penuh pengawet. Kebanyakan dressing salad dalam botol siap adalah tinggi dengan lemak tepu, garam dan gula tambahan.

Sedangkan ulam-ulaman bukan sahaja lebih segar kerana hasil tempatan, bahkan kebanyakan pencicahnya kaya dengan probiotik. Oleh itu, mengapa korang perlu mencari sayuran yang diimport daripada luar dengan harga yang mahal, kandungan nutrien yang tidak setanding khasiat ulam-ulaman tempatan?

Jadi, mulakan inisiatif pemakanan sihat ini daripada dapur rumah korang sendiri. Rajin-rajinlah mendapatkan bekalan ulam-ulaman yang penuh khasiat ini daripada pasar tani setempat. Walaupun korang tidak biasa makan ulam, cubalah dahulu. Kerana dari mulut, pasti turun ke hati! Hehehehe.. 



P/S: Sedapnya laa kalau dapat Sambal Belacan Buah Belinjau kannn.. ermmmmmm

12 comments:

  1. Favourite akk ulam2 ni tapi bukan pandai makan dari dulu sebab mak akk lebih byk sayur yg dimasak, ulam2 dia tak berapa. Akk makan ulam lps dah mula kerja belajar dgn kwn2

    ReplyDelete
  2. Sukaaaaaa...
    Semua ulam menjadi kesukaan tapi pucuk betik tu terliur...

    ReplyDelete
  3. dulu-dulu muda remaja mmg tak gemar makan ulam2 ni SL, tapi bila dah remaja purba ni itu lah penyedap kan kena lak dengan sambal nyok kata orang utara nii.. :)

    ReplyDelete
  4. Ulam makan dengan sambal belacan tu memang suka sangatt

    ReplyDelete
  5. SA kalau xde ulam kat rumah , kena wajib ada sayur..x kisah sayur apa pun...

    ReplyDelete
  6. Ulama ni pembangkit selera bagi PC..tak kisahlah ulam apa pun. Kalau tak selera makan pun boleh jadi selera lagi kalau makan dengan nasi panas.

    ReplyDelete
  7. semua pun x leh nak masuk tekak hehehe...
    timun kira ulam x? heheh

    ReplyDelete
  8. Mak saya sukaaa ulam-ulam ni...Timun la selalunya...Ulam raja pulak biasanya maklong saa... Lepastu nanti time sehari sebelum check kencing manis darah tinggi, peria tu diblend buat air dulu..huhu....Err..pahit..

    ReplyDelete
  9. Sebagai pencinta sayur, ulam ulaman ni favourite lah cicah sambal belacan. Ulam sambung nyawa tu first time dengar dan tengok. Cekur tak pernah makan. Jering,petai dan kaduk pulak buat sambal baru makan. Yang lain, layan makan fresh. Paling suka ulam selom, pegaga, tenggek burung, kacang botol muda dan banyak lagi favourite :)

    ReplyDelete
  10. suka...tapi jering saya takleh makan mentah. kena masak dulu

    ReplyDelete
  11. Ulam2an ni memang banyak khasiatnya.
    Tapi wak tak berapa pandai makan sayur mentah

    ReplyDelete
  12. Suka juga makan ulam ulaman lagi . Cicah pulak dengan sambal belacan .

    ReplyDelete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.