KEISTIMEWAAN 10 HARI ZULHIJJAH SEBELUM HARI ARAFAH

KEISTIMEWAAN 10 HARI ZULHIJJAH SEBELUM HARI ARAFAH | Ketika ini Mekah semakin padat dengan bakal-ba­kal haji sementara menunggu 10 hari sahaja sebelum wukuf. Sis doakan para jemaah haji berada dalam sihat walafiat melaksanakan pelbagai ibadat walaupun dikhabarkan cuaca di Mekah agak panas sehingga mencecah 40 darjah Celsius.

Bagi kita yang tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah, mari kita rebut peluang me­lakukan pelbagai ibadat sunat dalam 10 hari pertama bulan Zulhijah. Ada beberapa dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihannya.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: Demi fajar dan malam yang sepuluh. (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)

Thauban r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepadaNya dan dihapuskan kesalahanmu. (Riwayat Muslim). Ini umum untuk semua waktu.

Maka, sepuluh hari awal Zulhijjah merupakan satu tempoh yang mana manusia beribadah kepada Allah dalam segala bentuknya. Ia benar-benar satu tempoh waktu pelbagai ibadah dipersembahkan oleh sekelian para hamba yang soleh. Allah merahmati waktu tersebut dengan memberikan ganjaran yang besar kepada apa sahaja amalan soleh yang dilakukan semasa sepuluh hari berkenaan.


Antara amalan yang sangat dianjurkan untuk kita laksanakan adalah:

Puasa. 

Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan. (Riwa­yat Ahmad dan Abu Daud)

Mengucapkan takbir, tahlil dan tahmid. 

Ini berdasarkan ha­dis Ibnu Umar di atas yang me­ngatakan: “Maka perba­nyak­kanlah padanya bertahlil (me­ngucapkan La-ilaha-illallah), ber­takbir (me­ngucapkan Allahu Ak­bar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah)”. Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a me­nuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut sama bertakbir”.

Puasa pada hari Arafah. 

Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (Riwayat Muslim) Bagaimanapun, amalan ini hanya disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji. Mengenai perbezaan ‘hari wukuf’ Arab Saudi dan Malaysia, kita perlu kembali kepada perbahasan ilmu falak.

Secara ringkasnya, umat Islam adalah tertakluk kepada rukyah hilal di negeri masing-masing. Umat Islam di Malaysia tidak perlu mengikuti tarikh Arab Saudi, kerana matla’ (kaedah penentuan anak bulan), kita dan Arab Saudi adalah berbeza. Oleh yang demikian, jangan risau, ikut sahaja tarikh yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia. Allah, pemilik dan pengurus masa, lebih me­ngetahui. Sebagai tambahan, tiada istilah ‘hari wukuf’ di Malaysia.

Pada tahun ini, 9 Zulhijjah 1440H di Malaysia jatuh pada hari SABTU, 9 Ogos 2019, Umat Islam disunatkan berpuasa pada tarikh tersebut.

Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah. 

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia. Sesetengah ulama berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Ketahuilah bahawa dalam 10 hari terawal Zulhijah ini ada di dalamnya hari wukuf dan bekalan utama di padang Arafah itu kelak yang menjadi kayu ukur penerimaan doa seseorang hamba itu ialah keredaan hati dan kehinaan diri di hadapan Allah SWT.

Maka, berpesan pada diri sendiri dan kepada jemaah haji Malaysia serta umat Islam di tanah air, manfaatkanlah kelebihan berada dalam 10 hari terawal bulan Zulhijah ini. Ini agar kita dapat bersama-sama menjadi hamba-Nya dan meraih nikmat yang disediakan untuk hamba-Nya.

Kesimpulannya, sepuluh hari ini bagaikan pesta amalan soleh yang kita wajar penuhi setiap detik di dalamnya. Ia merupakan peluang pahala paling besar yang Allah berikan kepada kita semua. Marilah kita berusaha merebut peluang yang hebat ini. InsyaAllah ..

#SisSharing
Sumber: Pelbagai



P/S: Tahun ni adik-adik semua buat Qurban. Alhamdulilah ..

8 comments:

  1. haiiii. semoga kita dapat berpuasa nanti. thankyou for sharing

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haii, aamiinn, makaseh @Baby..sama-sama, moga bermanfaat ..

      Delete
  2. Replies
    1. Yaa @Wak, bermulalah 10 hari Zulhijjah sebelumnya hari arafah ..

      Delete
  3. Terima kasih atas perkongsian.. semoga kita dapat buat amalan lebih untuk bulan ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah @Inaaainaa, moga kita berpeluang menyambut AidilAdha juga ..

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.