KASIH SAYANG TANPA SYARAT - PROF DR MUHAYA MUHAMAD

KASIH SAYANG TANPA SYARAT - PROF DR MUHAYA MUHAMAD | Jika semasa hidup di dunia akhlak kita baik dengan sesama manusia, kematian kita akan dirasai sebagai satu kehilangan besar. Oleh sebab itu curahlah kasih sayang kepada seluruh makhluk di dunia ini tanpa syarat, dan untuk berkasih sayang sesama manusia jangan memilih berdasarkan bangsa, keturunan dan statusnya. Kalau kita tidak ada rasa dan sifat kasih sayang, bermakna kita tidak punya apa-apa yang berharga dalam hati kita. Sebagai wanita contohnya, kita melahirkan anak dan menyusukannya kerana kasih sayang.

Kita perlu berikan kasih sayang, belas kasihan, kebaikan dan kebahagiaan kepada orang sekeliling kita, untuk kita mendapat kembali manfaatnya, sama ada di dunia dan di akhirat. Yakinlah bahawa dalam dunia ini tidak ada perkara yang kita lakukan sama ada positif atau negatif, tidak akan berbalik semula kepada kita.

Kalau kita tidak sempat mendapat balasannya, mungkin anak, cucu atau keturunan kita yang akan menanggung kesan daripada perbuatan kita. Beruntunglah kalau yang kita tinggalkan untuk keturunan kita adalah perkara yang baik-baik, maka disebut-sebut oranglah kebaikan kita dan keturunan kita. Tetapi, alangkah ruginya, jika kita meninggalkan dosa kita yang tidak mati walaupun kita sudah mati (dosa jariah).

Berhati-hatilah, sosial hidup kita kini amat mudah untuk kita mencipta ‘dosa jariah’, melalui media sosial. Bayangkan apabila kita membuat satu penyataan yang salah atau palsu dan tohmahan dalam FB, hingga menular isu tersebut seisi dunia, tiba-tiba ditakdirkan kita kemalangan dan kita mati. Bagaimanakah nasib kita di alam abadi nanti? Sudahlah kita kurang ‘amal jariah’, yang kita ada hanyalah ‘dosa jariah’!

Kalau kita berkeperibadian positif, tentu kita tidak tergamak melakukan perkara negatif tersebut yang akan melukakan hati dan menyusahkan hidup orang lain. Sesungguhnya kita selalu menzalimi diri kita sendiri kerana ‘mata hati’ kita tertutup. Jom audit diri supaya kita bermotivasi dan berinspirasi untuk merawat ‘mata hati’, supaya celik ‘mata hati’, dan nampak kuasa Allah di mana-mana.

Yang paling utama perlu ada dalam ‘mata hati’ kita adalah perasaan kasih sayang, iaitu ‘kasih sayang tanpa syarat’. Sebab kalau kita sayang, kita akan sabar dan reda dengan apa-apa yang berlaku. Mulakan dengan kasih sayang kepada diri sendiri dahulu. Oleh sebab itu, untuk membahagiakan dan mengasihi orang lain kita perlu membahagiakan dan mengasihi diri kita terlebih dahulu. Jangan hukum dan menyalahkan diri sendiri, serta bersedih dengan kegagalan diri. Lupakan masa silam kita yang duka lara, dan mulakan hidup baharu dengan semangat dan harapan baharu yang positif.

Untuk sayang tanpa syarat kepada diri sendiri, kita kena kenal Allah, sebab hanya orang yang sayang Allah akan sayang dan hargai dirinya sendiri, dengan tidak menjebakkan dirinya kepada perkara yang membuatkan kita dibebani dosa. Beri kasih sayang kita kepada Allah, kita akan dapat kasih sayang Allah. Sebab apabila kita dekat dengan Allah, Allah akan dekat dengan kita. Ingatlah konsep pemikiran ‘Reset Minda’ (ADA – BERI – DAPAT = beri sayang dapat sayang).

Seterusnya berikan kasih sayang tanpa syarat kepada orang yang terdekat dengan kita, iaitu suami/isteri, ibu/ibu mentua, bapa/bapa mentua, anak-anak, adik-beradik dan keluarga kita yang lain. Ertinya kita sayang mereka tanpa mengharapkan balasan. Contohnya pertama, apabila kita berkahwin, suami/isteri jangan hanya mengharapkan ‘mendapat’/’menerima’ kebahagiaan/kasih sayang sahaja, tetapi kita juga mesti ‘memiliki’/‘memberi’ kebahagiaan/kasih sayang daripada perkahwinan itu.

Contoh kedua, sebagai mentua pula janganlah meletakkan syarat, untuk menyayangi menantu kita itu, dengan syarat yang kita tahu berat untuk dia tunaikan. Sebagai mentua, kita kena bayangkan, seorang individu yang dididik oleh keluarga yang berbeza dari segi suasana, cara hidup dan status, tiba-tiba menjadi menantu kita.

Kita baru kenal dia satu atau dua tahun, dan tentulah mengambil masa untuk mendapatkan kese­fa­haman. Kita sebagai orang yang lebih dewasa (mentua), kena lebih menyayangi dan memahaminya dengan mencari kelebihan dan kebaikannya, bukan menyerlahkan kekurangan dan keburukannya.


Terhapus

Apa-apa yang kita buat biarlah penuh dengan kasih sayang, serta melihat kepada kebaikan dan hikmahnya, daripada melihat ke­cantikan. Orang yang baik, pe­murah sikapnya. Lagi kita pe­murah, lagi kita bahagia dan disayangi. Allah tidak pandang kehebatan kita, yang dipandang-Nya hati dan kebaikan kita terhadap hubungan kita sesama manusia.

Mengapakah ada orang miskin di dunia ini, adakah kerana kurang dari segi wang ringgit atau kurang kasih sayang? Mengapakah ada kebuluran di dunia ini, adakah kerana kurang makanan atau kurang kasih sayang? Semuanya berlaku kerana kurangnya kasih sayang, hingga tidak terbuka hati kita untuk menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sesungguhnya tidak ada orang yang pemurah tidak bahagia dan tenang. Ketenangan boleh dicapai dengan cara menenangkan dan membahagiakan orang dengan kasih sayang. Untuk disayangi bersihkan hati dan jangan bersangka buruk serta memaafkan orang. Bagi menjernihkan hati yang keladak kita mesti menjadi seorang yang pemaaf, dan salah satu syarat hendak menjadi ahli syurga mestilah kita seorang pemaaf.

Dari segi psikologi, sikap pemaaf memberikan peluang kepada diri kita mengenyahkan toksik yang menjadi racun dalam fikiran dan hati kita, dan sikap pemaaf sangat baik dari segi kerohanian dan spiritual kita. Apabila kita memaafkan semua orang kita tidak sakit hati, maka penyakit mazmumah; dengki, marah dan dendam akan terhapus. Yang ada dalam hati kita yang bersih hanya kasih sayang, menghormati dan menghargai orang.

Jom kita teladani sikap Nabi Muhammad SAW. Ingatlah bahawa untuk berbuat jahat kepada orang yang berbuat jahat kepada kita sangat mudah, kerana kita akan bertindak berdasarkan rasa dendam. Berbuat jahat kepada orang yang berbuat baik kepada kita, pun mudah berlaku kalau kita seorang yang zalim. Berbuat baik kepada orang yang berbuat baik kepada kita, itu fitrah manusia dan selalu kita temui. Tetapi, berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat kepada kita, adalah suatu yang luar biasa.

Itulah sunnah Rasulullah SAW, walaupun banyak orang berbuat jahat kepadanya, namun baginda membalasnya dengan kebaikan, dan baginda menerimanya sebagai ujian Allah untuk mengukur keimanan dan kesabaran serta ketakwaannya.

Kesimpulannya, apabila berlaku sesuatu yang negatif kepada kita, cuba amalkan prinsip ini, ADA – BERI – DAPAT dan audit diri kita. Apabila kita mendapat sesuatu yang tidak baik, bermakna kita pernah memberi sesuatu yang tidak baik kepada orang, dan kita hanya boleh memberi sesuatu yang tidak baik kepada orang, kalau kita memiliki sikap dan hati yang tidak baik.

Kalau kita hendak bahagia, bahagiakan orang dahulu dengan memberikan kasih sayang. Kalau kita hendak disayangi, sayangi orang dahulu, dengan kasih sayang tanpa syarat. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Hehehe Sis sajer letak gambar ini, sebab gambar ini sedang dalam kebahagiaan bersama si dia tu haaa.. rindu awak! Tak sabar nak pergi bercuti ni...





P/S: #SisSharing moga jadi manfaat buat kita semua .. 


2 comments:

  1. kasih sayang ada juga yang bersyarat..

    terutama yag masih single dan tengah mencari tu..

    syaratnya menarik di mata dan berkenan di hati..

    baharulah boleh jalan hahahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha tang ayat bawah tu kemain @MrHanafi hahahah...dah ada calonkah...hehehehe

      Delete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .
For any inquiries, email: linmdnoor@gmail.com

Powered by Blogger.